Bateri Lemah...

"Abah - kenapa bateri ni tak hidup bah ...." tanya si anak.

"Bateri tu kena charge ...barulah boleh digunakan" jawab si ayah.

"Kita pun begitu juga... kalau dibiarkan tanpa di"charge" ia akan lemah. " si ayah menyambung.

"Bagaimana kita nak "charge" kan diri kita ayah?" tanya si anak kerana baru pertama kali dengar ungkapan sedemikian rupa.

"Pertama-tamanya kita kena lakukan apa yang wajib dan tinggalkan yang haram. Kemudian kita lakukan yang sunat - mengaji, berpuasa, bersedekah dan seumpamanya" si ayah menyambung lagi.

"Bagaimana tandanya kalau "bateri" kita ini lemah ayah?" tanya si anak.

"Hidupnya sentiasa runsing .... silap sikit nak marah.. hati susah nak terdorong buat yang baik & amat mudah melakukan yang maksiat ..." jawab si ayah ringkas.

"Ohh gitu ...Insya Allah mulai hari ini, Anas tidak akan tinggalkan sembahyang...malahan Anas akan selalu ke masjid. Anas ingat pesan penceramah Tsunami hari itu, orang yang ke masjid masa ombak Tsunami ialah orang yang biasa ke masjid... moga Allah berkati hidup kita ini..." si anak membalas.

Marilah kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan besok lebih baik dari hari ini.

Kerana Sebiji Tembikai...

Pada suatu hari, seorang ahli sufi yang masyhur bernama Syaqiq Al- Balkhi r.m telah membeli sebiji tembikai. Kemudian dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok, maka marah- marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan tersebut.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya: "Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?." Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq teruskan lagi kata-katanya: "Adapun si penjual, sudah tentu mau jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mau membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan- Nya."

Maka menangislah isteri Syaqiq. Lalu bertaubat dan iapun redhalah dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Akhlak...Ibarat Bunga Di Taman...

AKHLAK adalah perkara penting selepas iman. Setiap orang akan dinilai berdasarkan budi pekertinya (akhlak). Jika baik akhlaknya, maka dia akan dianggap baik. Jika buruk akhlaknya meskipun ada melakukan kebajikan, tetap tidak akan dinilai.

Oleh itu, orang yang mempunyai akhlak mulia akan dipandang mulia di sisi Allah. Contoh, akhlak mulia adalah akhlak Rasulullah. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia." (Surah al-Qalam, ayat 4).

Akhlak yang baik hendaklah dipupuk dan dipelihara hingga sebati dengan diri kita. Hal ini bagi membolehkan kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Dalam kehidupan manusia, akhlak dapat diibaratkan seperti bunga dalam sebuah taman. Bagaimana luas dan indahnya sebuah taman kalau tidak dihiasi dengan bunga-bungaan, maka taman itu tidak jauh bezanya dengan tanah perkuburan.

Seseorang yang mempunyai badan sihat, gagah, tampan, menarik, berilmu, kaya atau berpangkat, kalau mempunyai akhlak buruk dan perangai jahat, tidak ubah seperti muka yang cantik, tetapi mempunyai kesan guris luka berpanjangan.

Akhlak mulia atau hina terbit daripada jiwa atau hati. Jiwa seseorang itu saja yang akan menjadi pendorong menggerakkan perbuatan yang baik atau tercela.Dengan mempunyai akhlak baik dan sempurna pada diri seseorang, maka dapatlah kita melahirkan sebuah masyarakat dan bangsa gemilang, terbilang dan cemerlang.Hal ini kerana bangsa yang diasaskan dengan akhlak mulia saja akan dipandang mulia, bahkan boleh mengangkat martabat sesebuah bangsa ke tingkat paling tinggi antara ummah.

Di sinilah terbentuknya masyarakat madani yang mempunyai nilai positif dan mahmudah (terpuji). Setiap pekerjaan, pergaulan, perbuatan, hubungan individu, masyarakat, antarabangsa, kekeluargaan dan negara dijalin atas kesempurnaan akhlak.

Secara tidak langsung ia akan mewujudkan sebuah peradaban luhur bercirikan akhlak kemanusiaan sejagat dan tunduk atas kekuasaan Allah. Tanpa akhlak, manusia akan berbuat sesuka hatinya tidak mengira sama ada dilarang oleh Allah atau melanggar tata susila dan maruah mereka.

Masalah sosial yang semakin kritikal dan kronik dalam masyarakat, terutama golongan remaja pada masa kini disebabkan oleh budaya akhlak yang kian merosot.Mereka mudah terpengaruh dengan budaya kehidupan Barat yang memang sudah runtuh nilai akhlaknya.

Ajaran Islam tidak pernah menyekat kebebasan dalam melakukan kegiatan kehidupan, tetapi hendaklah melalui batas yang ditentukan oleh syariat.Segala yang dilarang oleh Allah swt mempunyai hikmah yang besar.

Isu keruntuhan akhlak bukanlah suatu perkara yang baru dalam masyarakat kita. Namun apa yang diharapkan adalah kepekaan dan usaha bersungguh-sungguh pada diri individu dan masyarakat dalam menangani masalah generasi muda.

Langkah yang perlu kita lakukan adalah berusaha mencari penawar kepada penyakit sosial untuk memulihkan sindrom yang menyerang generasi muda pada zaman ini.Salah satu cara terbaik adalah pembudayaan akhlak dalam kehidupan seharian.

Keperibadian yang disulami dengan keimanan dan akhlak akan menerbitkan pekerti mulia dan menjamin kerukunan dan kesejahteraan sebuah masyarakat, negara dan antarabangsa.

Lagu Untuk Ibu...

Dimanakah ibu kita berada ketika ini...?



"Our mother is among Allah's greatest gift to us. Let's honour them with love, respect and appreciation and let us not forget them in our prayer"

Buat ibuku...Hjh Jamaeyah Mahmud
Kau sentiasa dalam ingatan...Anakmu ini amat merinduimu...

Lima Tanda Hati Keras Membatu ..

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah

Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)

Hati dan Perasaan Isteri Mudah Dididik Jika…

Seorang lelaki datang bertemu Abdullah Ibnu Masud menceritakan sahabatnya yang bernama Abu Huraij telah bernikah dengan seorang anak gadis. Abu Huraij bimbang jika isterinya itu membenci dirinya...

Lalu Abdullah bin Masud pun berkata, “Kasih sayang itu dari Allah, sedangkan kebencian dari syaitan yang membenci sesuatu yang dihalalkan Allah untuk kalian.”

Kata Abdullah lagi, “Jika ia (isteri yang baru dinikahi) datang kepadamu, maka suruhlah ia solat sunat dua rakaat di belakangmu, dan katakanlah, Ya Allah, berkatilah isteriku untukku. Berkatilah mereka lantaran diriku. Ya Allah, satukanlah kami selama Engkau menyatukan dengan baik dan pisahkanlah kami jika Engkau memisahkan dengan baik.”

Sepasang insan yang dirai mengalirkan air mata kesyukuran setelah berjaya menempuh badai godaan syaitan sebelum bernikah.Pertemuan pasangan yang diijab kabul secara sah didahului dengan sama-sama solat berjemaah dan sujud merafak sembah kepada Allah sebelum menyarungkan cincin ke jari manis isteri mempunyai nilai simbolik tersendiri.

Isteri yang bersedia solat berjemaah dengan suami, sama-sama menadah tangan mengaminkan dengan lafaz doa yang baik-baik dari suami ketika itu hanya mengharap agar dirinya dipimpin sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.

Ketika itu pelbagai perasaan berbaur dalam diri antara rasa takut, cemas dan mengharap agar dirinya diterima sepenuh hati oleh si suami dengan tidak berbelah-bagi. Memohon agar keaiban diri dan sifat-sifat mazmumah diri dapat dikekang dalam menjaga kesantunan budi di hadapan suami.Itulah saat yang paling berharga buat seorang isteri, juga buat seisi rumah yang menyaksi.

Begitu juga bagi si suami apabila seorang yang dulunya asing kini mengharapkan pimpinan darinya. Ini menuntutnya banyak bersabar dan berhemah dalam menyelami perasaan serta hati budi seorang wanita.Sebenarnya wanita yang lembut peribadinya, tinggi emosinya dan cinta kepada yang seni-seni tidak semestinya sentiasa suka dibelai manja oleh suami sepanjang masa. Sesekali dia mengharap teguran mesra dari seorang suami andai jalannya sudah tersasar agar dapat kembali ke jalan yang lurus.
Juga mengharap agar diperingatkan pada kejahatan nafsu yang perlu dikekang dan ditundukkan menurut hukum Tuhan. Percayalah para lelaki… hati dan perasaan seorang wanita dan isteri akan mudah dididik untuk patuh kepada hukum Tuhan bilamana seorang lelaki sebagai ketua keluarga serius dengan Tuhannya.

10 Hadiah Allah Di Dunia Untuk Orang Bertaqwa...

Kehidupan orang-orang bertakwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah telah janjikan pelbagai ‘hadiah’, sebagaimana digambarkan-Nya di dalam al-Quran...

1. Sentiasa mendapat petunjuk
“Mereka itulah (orang-orang bertakwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Baqarah: 5)

2. Diberi penyelesaian dari masalah
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan diberikan kepadanya jalan keluar.” (At-Thalaq: 2)

3. Dipermudah segala urusan
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya segala urusannya.” (At-Thalaq: 4)

4. Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga
“… dan memberinya (orang bertakwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga.” (At-Thalaq: 3)

5. Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia)
“Sesungguhnya Allah menghasihi orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran: 76)

6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi
“Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)

7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlindungan dari Allah
“Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Fussilat: 18)“… dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah berserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 194)

8. Mendapat kemenangan
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan.” (An-Naba: 31)

9. Terpelihara dari tipu daya musuh
“Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu.” (Ali Imran: 120)

10. Diberikan ‘furqan’ (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah)
“Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan.” (Al-Anfal: 29)