Fadhilat (Kelebihan) Selawat Ke Atas Nabi Muhammad saw


Jika selawat dr Allah swt ertinya rahmat dan jika ia drpd Malaikat dan selainnya,ia bererti doa.Allah Ta’ala berfirman :Ertinya : “Wahai mereka yg beriman,berselawatl ah kamu ke atasnya dan berilah salam sepenuhnya ke atasnya”.[QS Al-Ahzab : 56]

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa berselawat ke atasku satu kali,nescaya Allah berselawat sepuluh kali (iaitu Allah memberi rahmat ke atasnya sepuluh rahmat)”.

Sesetengah sahabat bertanya kpd Rasulullah saw: “Adakah yg demikian itu dgn kehadiran hati?” Baginda saw menjawab dgn sabdanya : “Tidak. Tetapi org yg berselawat dgn hati yg lalai pun diberikan rahmat oleh Allah seumpama bukit besarnya dan para Malaikat memohon doa agar diampunkannya. Apabila disebutkan selawat itu dgn kehadiran hati, maka tidak diketahui betapa besar kadar kurniaan rahmat ke atasnya melainkan Allah swt shj yg mengetahuinya” .

Ketahuilah bahawa segala zikir tidak diberi pahala dan tidak diterima melainkan dgn disertai dgn kehadiran hati kecuali membaca Al-Quran dan berselawat ke atas Nabi saw yg mana kedua-duanya diterima dan diberi pahala tanpa kehadiran hati.

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa yg berselawat ke atasku seribu(1000) kali, nescaya ia tidak mati sehinggalah dibawakan berita gembira mengenai Syurga utknya”.

Sabda Nabi saw : “Barangsiapa berselawat ke atasku satu kali nescaya Allah Ta’ala berselawat ke atasnya 10 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 10 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 100 kali.Barangsiapa berselawat ke atasku 100 kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya 1000 kali. Barangsiapa berselawat ke atasku 1000 kali, nescaya ia tidak disentuh api Neraka”.

Nabi saw bersabda : “Barangsiapa lalaikan dirinya dari berselawat ke atasku, maka sesungguhnya ia tersalah jalan ke Syurga”.

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya manusia yg paling utama bersama-samaku pd hari Kiamat (iaitu yg paling hampir kpdku dan yg lebih berhak dgn syafaatku pd hari Kiamat) ialah yg paling banyak berselawat ke atasku di dunia di kalangan mereka”.

Sabda Nabi saw : “Selawat kamu ke atasku akan menghapuskan dan menghilangkan dosa-dosa kamu spt air menghapuskan api”.

Sabda Nabi saw : “Tiada satu doa seseorg itu melainkan antaranya dan langit terdapat hijab sbg pendinding sehinggalah ia berselawat ke atasku.Apabila ia telah berselawat, maka terkoyaklah hijab itu dan doa itu pun diangkatkan ke langit iaitu diperkenankan” .

Sabda Nabi saw : “Barangsiapa berselawat ke atasku 100 kali dlm satu hari, maka Allah tunaikan 100 hajatnya. 70 hajat utk akhiratnya dan 30 hajat utk dunianya”.

Nabi Muhammad saw bersabda : “Jibril telah dtg kpdku dgn berkata : “Wahai Rasulullah, tiada siapa yg berselawat ke atasmu melainkan 70 ribu Malaikat berselawat ke atasnya”.

Sabda Baginda saw : “Malaikat yg berjalan di muka bumi menyampaikan salam drpd umatku”.

Hindari sifat marah...


SEMEMANGNYA hidup ini banyak cabaran, banyak dugaan dan penuh dengan liku-liku dan ranjau yang harus dilalui dan dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan.
Cabaran dan dugaan itu bermacam-macam bentuk, ada berbentuk kesusahan, kesengsaraan dan ada pula berbentuk kesenangan dan kegembiraan. Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita. 
Sifat marah adalah suatu sifat yang tetap ada pada diri seseorang, tinggal lagi hendaklah kena pada tempatnya, bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.
Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya.
Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah.
Ia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berpesanlah kepadaku, lalu baginda bersabda : Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda : Jangan marah. (riwayat Bukhari).
Memanglah benar bahawa perkara-perkara yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu amat banyak khususnya cabaran-cabaran masa kini yang ditambah pula dengan kerenah-kerenah manusia itu sendiri.
Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah SWT dan Rasul-Nya.
Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan saja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri.
Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka lekas-lekaslah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya. (asy-Syuura: 37)
Rasulullah SAW bersabda: “Dari ‘Atiah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk (riwayat Abu Daud).”
Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.
Kedua, supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan.
Oleh itu, kita harus memahami bahawa orang yang dapat mengawal dirinya dari bersifat marah akan mendapat balasan syurga.
Ini dijelaskan seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abi Ad-darda dia berkata, wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya sesuatu amalan yang boleh menyebabkan saya dapat masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda: Jangan marah nescaya engkau akan dapat masuk syurga (riwayat At-Tabrani).”
Islam mahukan umatnya bersatu padu, hidup bersaudara, berkasih sayang, mengelakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh membawa kepada kehancuran umat Islam.
Maka bagi mengelakkan semua itu, Islam menganjurkan kita supaya jangan bersifat marah. Mudah-mudahan dengan demikian umat Islam akan bersatu padu dan menjadi umat yang kuat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (ali-’Imran: 133-134)

Mengapa Doa Tidak Dimakbul...


Selalunya Allah SWT akan mengabulkan setiap doa melalui saluran yang diizinkan syarak. Tetapi jika pemberian itu tidak sampai ke tangan kita atau kita tidak menerimanya, maka itu bukanlah salah Allah SWT. Mungkin ada kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Di antara kemungkinan itu ialah:


  • Ada kalanya kita sudah terlalu jauh dengan Allah SWT.
  • Ada dinding yang membataskan kita dengan Allah SWT seperti dosa yang sudah bertimbun-timbun sehingga Allah SWT berasa tidak patut lagi kita menerima pemberian-Nya yang bernilai tinggi dan suci itu.
  • Kita selalu berdoa tetapi perbuatan maksiat tidak kita tinggalkan dan kita suka mengambil sesuatu melalui jalan yang haram.
  • Boleh jadi kerana salah kita melanggar syaratnya atau kerana salah satu sebab yang kita tahu atau sedar.
Ibrahim Adham, seorang ahli sufi yang sangat masyhur pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah, mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah pada hal kami selalu berdoa. Ibrahim Adham menjawab: “Kerana hati kamu buta (mati) disebabkan sepuluh perkara, iaitu”:
  1. Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
  2. Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
  3. Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  4. Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
  5. Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu mengaku syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  8. Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
  9. Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
  10. Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Daripada sepuluh sebab yang membutakan hati itu tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjunjung tugas sebagai hamba yang sebenar bagi Allah. Sebab itu wajar sekali kita tidak mendapat keistimewaan yang melimpah ruah – setiap panggilan tak mungkin disahut dan setiap permintaan tak mungkin dikabulkan Allah.
Bey Ariffin dalam bukunya Samudra Al-Fatihah antara lain mengatakan; doa seseorang itu tidak akan dimakbulkan Allah walaupun ia merendah diri serendah-rendahnya (khusyu’ dan tawadhu’) sewaktu berdoa, serta memuliakan Allah dengan semulia-mulianya, tetapi apabila sebelum berdoa atau sesudahnya dia mengerjakan pekerjaan yang sangat dilarang dan dimurkai Allah.
Di sinilah letaknya rahsia mengapa Allah tidak mengabulkan doa sebahagian besar dari manusia yang berdoa dan di sinilah pula letaknya kenapa Allah selalu mengabulkan doa Rasul dan nabi, para sahabat dan tabi’iin, para wali dan orang soleh lainnya.
Untuk membolehkan doa itu dimakbulkan Allah s.w.t maka ia hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab- adab berdoa. Di antara adab-adab berdoa ialah:
  • Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.
  • Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.
  • Berdoa dengan menghadap kiblat.
  • Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita.
  • Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.
  • Berdoa dalam keadaan khusyu’ dan tawadhu’ dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.
  • Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.
  • Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.
  • Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.
  • Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.
Sumber : Harian Metro