Kerana Banyak Berselawat ...

Sufyan as-Sauri ialah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu masa, dia bertemu seorang pemuda yang bercerita tentang satu pengalamannya yang sangat aneh. Menurut pemuda itu, dia bersama ayahnya sedang dalam perjalanan untuk menunaikan haji di Makkah.

Tiba-tiba ayahnya jatuh sakit yang kemudian berakhir dengan kematian.Lebih menyedihkan lagi, wajah ayahnya telah bertukar menjadi hitam legam. Dia benar-benar terperanjat. Tak tahu kenapa jadi begitu. Dan tak tahu apa yang harus dilakukan kerana dia berada di tempat orang. Bimbang juga akan mendapat malu sekiranya hal itu diketahui oleh orang lain.

Akhirnya pemuda menutup mayat ayahnya dengan sehelai kain. Dia menangis teresak-esak. Akhirnya dia tertidur. Dalam tidur dia bermimpi didatangi seorang lelaki yang sungguh tampan serta penampilannya yang nampak gagah. Wajahnya bersinar terang. Pakaiannya bersih dan berbau harum. Lelaki itu bertanya dengan penuh sopan, “Apa masalahmu?”

“Ayahku telah meninggal dunia.”

“Jangan menangis. Semua orang mesti mati,” tegur lelaki tampan itu.

“Tapi wajahnya bertukar menjadi hitam legam.” Lelaki tampan itu menyingkap kain yang menutup mayat lalu mengusap wajah mayat dengan tangannya. Wajah mayat yang hitam legam beransur-ansur bertukar menjadi cerah dan bersih. Malah lebih cerah daripada asalnya. Kemudian menutup semula mayat dengan kain yang sama. Lelaki itu mahu beredar, tetapi lebih dahulu ditanya siapakah dia sebenarnya?

Lalu dia pun memperkenalkan dirinya, “Aku Muhammad… Rasulullah.”

Si pemuda yang bertanya itu tergamam seketika. Kemudian dia tahu juga kenapa ayahnya beroleh rahmat yang begitu besar dari Allah s.w..t. Rupa-rupanya semasa hayat, ayahnya adalah seorang yang sangat rajin berselawat kepada Rasullullah s.a.w.

Demikianlah yang diberitahu oleh lelaki tampan itu. Apabila terjaga daripada tidur, pemuda yang kematian ayah itu segera menyelak kain yang menutupi mayat ayahnya.

Memang benar. Wajah ayahnya tidak hitam lagi. Cerah berseri-seri. Perasaannya ketika itu bercampur-baur antara sedih, terharu dan sungguh gembira.

“Itulah pengalamanku yang cukup luar biasa,” kata pemuda itu mengakhiri ceritanya kepada Sufyan as-Sauri.

“Aku akan turuti jejak almarhum ayahku yang menjadikan amalan gemar berselawat ini sebagai tabiatku.”