Ke mana hilangnya akal...??

"Apakah kamu tidak berakal?" demikian soalan Allah s.w.t. kepada kita semua di dalam al-Quran. Persoalan yang terkandung di dalam ayat suci itu, kalau dihayati dan dikaji oleh kita yakni sekalian umat Islam secara mendalam dan tekun, nescaya akan membuahkan hasil yang hebat, natijah yang mengagumkan serta manfaat besar yang boleh dikongsi oleh seluruh umat manusia.

Namun, hari ini kita sedang melihat umat Islam seakan-akan jauh ketinggalan dalam menghayati cabaran dan seruan Ilahiyyah ini. Dalam ertikata yang lain, pemanfaatan akal tidak berlaku semaksimum mungkin di kalangan kita, hingga menyebabkan kita, selain terus bergantung harap dan belas kasihan dengan musuh-musuh Islam, turut menjadi mangsa ratahan mereka. Sudahlah iman kering kontang di jiwa, akal pula tidak lagi berpandukan kebenaran. Kala itu, syaitan dan hawa nafsulah bertukar menjadi tuhan sembahan walaupun mulut terkumat-kamit mengaku hamba Allah.

Astaghfirullah!! Mana perginya kewarasan akal apabila anak gadis seusia 10 tahun dirogol dan diliwat tanpa belas kasihan?? Ke mana hilangnya kemuliaan akal bila seseorang tergamak menjadi pembunuh kejam?? Kenapa dan mengapa anak yang ditatang penuh kasih dan sayang oleh ibu bapa bertukar menjadi bongkak, sombong dan derhaka di usia senja mereka??

Persoalannya, kenapa akal seseorang insan boleh menjadi selemah, sebebal, selembab dan setolol itu? Jawapannya, adalah kerana maksiat yang ia lakukan. Kata para ulama, maksiat itu merosakkan akal. Kerosakan maknawi berlaku tanpa ia sedari. Awalnya, di dalam akal ada nur yakni cahaya. Bilamana maksiat dilakukan tanpa dituruti taubat, ia langsung bertindak memadamkan cahaya Rabbaniyyah itu. Kesan terpadam dan lenyapnya cahaya itu membuatkan hati menjadi lemah dan lembab.

Kita soal diri sendiri, adakah manusia yang sihat dan waras akalnya, akan melakukan perkara-perkara melanggar batasan agama, akhlak serta resam budaya itu? Sama-samalah kita memelihara ‘cahaya’ yang tersembunyi kurniaan Ilahi itu.