Keberkatan Rezeki...

“Hishh, sudah berbelas tahun aku bekerja keras siang dan malam, tapi hasilnya tak seberapa. Apa yang tak kena...” “Apa lagi kerja yang saya tak buat. Semua sudah saya buat. Bak kata orang, pergi pagi balik malam, tapi rezeki saya sekeluarga tak juga cukup-cukup. Entah apa nak jadi...”

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.

Mudah-mudahan kita dipelihara Allah swt. Suluhlah hakikat diri dan kehidupan kita selama ini. Nescaya kita akan dapati ada kebenarannya apa yang kita utarakan ini. Jangan lupa, kiaskan pula pada keluarga dan masyarakat kita. Ingatlah, sekiranya dosa membeliti diri, maka kurniaan rezeki tidak lagi menguliti. Sekalipun ia tampak menguliti diri, namun sama-sekali ia tidak diberkati.