Ke mana hilangnya akal...??

"Apakah kamu tidak berakal?" demikian soalan Allah s.w.t. kepada kita semua di dalam al-Quran. Persoalan yang terkandung di dalam ayat suci itu, kalau dihayati dan dikaji oleh kita yakni sekalian umat Islam secara mendalam dan tekun, nescaya akan membuahkan hasil yang hebat, natijah yang mengagumkan serta manfaat besar yang boleh dikongsi oleh seluruh umat manusia.

Namun, hari ini kita sedang melihat umat Islam seakan-akan jauh ketinggalan dalam menghayati cabaran dan seruan Ilahiyyah ini. Dalam ertikata yang lain, pemanfaatan akal tidak berlaku semaksimum mungkin di kalangan kita, hingga menyebabkan kita, selain terus bergantung harap dan belas kasihan dengan musuh-musuh Islam, turut menjadi mangsa ratahan mereka. Sudahlah iman kering kontang di jiwa, akal pula tidak lagi berpandukan kebenaran. Kala itu, syaitan dan hawa nafsulah bertukar menjadi tuhan sembahan walaupun mulut terkumat-kamit mengaku hamba Allah.

Astaghfirullah!! Mana perginya kewarasan akal apabila anak gadis seusia 10 tahun dirogol dan diliwat tanpa belas kasihan?? Ke mana hilangnya kemuliaan akal bila seseorang tergamak menjadi pembunuh kejam?? Kenapa dan mengapa anak yang ditatang penuh kasih dan sayang oleh ibu bapa bertukar menjadi bongkak, sombong dan derhaka di usia senja mereka??

Persoalannya, kenapa akal seseorang insan boleh menjadi selemah, sebebal, selembab dan setolol itu? Jawapannya, adalah kerana maksiat yang ia lakukan. Kata para ulama, maksiat itu merosakkan akal. Kerosakan maknawi berlaku tanpa ia sedari. Awalnya, di dalam akal ada nur yakni cahaya. Bilamana maksiat dilakukan tanpa dituruti taubat, ia langsung bertindak memadamkan cahaya Rabbaniyyah itu. Kesan terpadam dan lenyapnya cahaya itu membuatkan hati menjadi lemah dan lembab.

Kita soal diri sendiri, adakah manusia yang sihat dan waras akalnya, akan melakukan perkara-perkara melanggar batasan agama, akhlak serta resam budaya itu? Sama-samalah kita memelihara ‘cahaya’ yang tersembunyi kurniaan Ilahi itu.

Keberkatan Rezeki...

“Hishh, sudah berbelas tahun aku bekerja keras siang dan malam, tapi hasilnya tak seberapa. Apa yang tak kena...” “Apa lagi kerja yang saya tak buat. Semua sudah saya buat. Bak kata orang, pergi pagi balik malam, tapi rezeki saya sekeluarga tak juga cukup-cukup. Entah apa nak jadi...”

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.

Mudah-mudahan kita dipelihara Allah swt. Suluhlah hakikat diri dan kehidupan kita selama ini. Nescaya kita akan dapati ada kebenarannya apa yang kita utarakan ini. Jangan lupa, kiaskan pula pada keluarga dan masyarakat kita. Ingatlah, sekiranya dosa membeliti diri, maka kurniaan rezeki tidak lagi menguliti. Sekalipun ia tampak menguliti diri, namun sama-sekali ia tidak diberkati.

Yang Mencantikkan Wajah...

Al-Ahnaf bin Qais adalah seorang ulama yang terkenal di zamannya. Suatu hari seorang pemuda dari suku Tai'yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al-Ahnaf memang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai terutamanya anak-anak murid dan sahabat handainya. Mereka yang datang itu adalah untuk tujuan belajar dan menuntut ilmu dari beliau. Bagaimanapun kedatangan pemuda dari suku Tai'yi ini amatlah menarik perhatian Al-Ahnaf.

Ahnaf mendapati pemuda ini sangat segak dan tampan, berbeza dari pemuda yang sebaya dengannya. Lalu Ahnaf pun bertanya, " Wahai anak muda! Adakah kamu menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"

Jawab pemuda. " Memang benar, saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu iaitu jika saya bercakap saya tidak pernah berbohong. Kalau ada orang yang sedang bercakap, saya hanya duduk diam dan mendengar. Jika saya berjanji, saya akan tepati janji itu dan jika saya diberikan sesuatu amanah, saya tidak mengkhianatinya."

Mendengar jawapan yang bernas itu maka berkatalah Ahnaf, " Benar akan kata-katamu wahai anak muda. Sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan akhlak mulia."

Sempurnakah aku...?

Alhamdullilah...bertembung lagi kita dengan permulaan tahun Hijriah 1430, seiringan dengan tibanya tahun Masihi 2009. Ini bermakna, telah diberikan kita kesempatan sekali lagi untuk kita menggandakan usaha memperbaiki diri ke arah menjadi lebih cemerlang dan gemilang, lebih dari tahun-tahun yang sudah. Semoga dapat kita melipatgandakan lagi kasih sayang kepada diri sendiri, ahli keluarga, sahabat handai dan kepada semua makhluk di sekeliling kita.

Selama ini kita mungkin sering menumpukan tranformasi diri dari aspek luaran - mahu berhenti merokok, mahu mengurangkan perbelanjaan yang membawa kepada pembaziran, mahu berjimat dan mungkin menyimpan hasrat untuk menunaikan fardu haji. Mengapa tidak untuk kali ini kita rancang atau berusaha untuk memperbaiki diri kita dari aspek lain, selain meneruskan azam yang pernah kita buat pada tahun-tahun yang lepas.

Marilah kita duduk seketika, lapangkan fikiran yang sentiasa kecoh dan sibuk dengan urusan duniawi yang pastinya tidak akan ada kesudahannya. Kita tumpukan perhatian serius dan berikan tumpuan seratus peratus kepada diri kita.

Bagaimanakah prestasi amalan kita kepada Allah? Sudahkah kita melakukan yang terbaik sebaik-baiknya...?

Fikir-fikirkan la...

Peluang...dicari atau dicipta?

Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita sepatutnya mencari dan mencipta peluang. Mencipta peluang agar orang lain juga mampu untuk berbuat baik. Secara tidak langsung kita membantu mereka yang memerlukan. Allah Taala juga pernah berfirman di dalam al-Quran yang yang membawa maksud, sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Begitu juga untuk menyediakan diri kita agar mudah didekati orang lain. Berkongsi kesenangan, keseronokan dan kebahagian. Mendalami mereka yang bermasalah agar sama-sama bangun dengan kita. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Tapi ada juga yang terlupa. Pertolongan dan bantuan disalah ertikan. Bak kacang lupakan kulit. Ketika susah menjadi kawan, setelah senang segalanya hilang. Janganlah itu yang mematahkan semangat kerana Allah pasti ada ketentuan.


Kita hanya merancang, Dia yang menentukan...

Begitu cepat masa berlalu...

Masa kini menjadi detik penentu. Apakah ianya akan berlalu menjadi kenangan manis atau penyesalan pahit?

Masa juga menjadi detik taruhan. Apakah masa hadapan bakal menjadi kenyataan atau hanya tinggal khayalan dan angan-angan?

Fikir-fikirkan...